Jun 18, 2013

Gerak Hati

 
KEPUTUSAN MENGIKUT GERAK HATI
Hidup kita banyak memerlukan kita membuat keputusan. Setiap dari kita hendaklah membuat keputusan dengan betul dan keputusan yang dipilih merupakan yang terbaik agar kita tidak menyesal di hari kemudian.
            Aku nak bangun ke aku nak sambung tidur lagi.?
            Aku nak makan nasi ayam ke nasi goreng.?
            Aku nak pergi kuliah ke nak ponteng hari ni.?
            Petang ni nak memancing ke nak main takraw.?
            Tapi, kenyataan-kenyataan di atas ini sekadar beberapa persoalan yang sering bermain di fikiran kita. Terdapat banyak lagi persoalan yang selalu membuatkan fikiran kita runsing. Bila keputusan yang perlu dibuat melibatkan sesuatu yang berat seperti keputusan yang melibatkan masa hadapan kita, ini akan menjadikan minda dan hati kita tidak sependapat dan akan menimbulkan kesan buruk kepada pekerjaan harian kita.
            Cuba kita bayangkan, jika dalam hidup ini kita tidak perlu membuat sebarang keputusan, pasti semua perkara yang hendak dibuat akan menjadi terlalu senang dan berjalan dengan lancar dan masalah juga tidak akan timbul. Fikiran kita juga tidak pening bagi memikirkan satu persatu risiko yang akan timbul daripada setiap apa yang bakal diputuskan. Hati menjadi tenang dan tenteram malah hidup akan sentiasa berada dalam keadaan ceria dan gembira.
            Tetapi realitinya, dalam kehidupan ini setiap dari kita kena membuat keputusan. Apabila difikirkan secara mendalam dan lebih teliti, kehidupan kita dalam sehari-hari memerlukan kita membuat keputusan. Bermula daripada bangun tidur pada waktu pagi, kita sudah membuat keputusan untuk diri kita. Yang paling ringkasnya adalah kita membuat keputusan sama ada hendak terus mandi ataupun membasuh muka sahaja, kemudian berwuduk dan solat. Itulah kecantikan yang ada dalam kehidupan yang diaturkan oleh Allah SWT kepada makhlukNya. Meskipun dalam konteks makhluk dengan Penciptanya manusia ini adalah hambaNya, tetapi manusia masih diberikan kebebasan membuat keputusannya sendiri dalam perkara-perkara yang bersesuaian dengan kedudukannya.
            Adakalanya kita tidak mahu atau tidak akan mahu memikirkan sama ada kita sudah melalui proses yang betul dalam membuat keputusan. Apa yang biasanya kita fikirkan sewaktu dalam proses untuk membuat sesuatu keputusan adalah membandingkan langkah-langkah yang sedang kita dipertimbangkan berdasarkan dengan pengalaman sendiri pada masa lalu ataupun pengalaman orang-orang lain yang berkaitan. Sama ada betul ataupun salah keputusan itu nanti, biasanya tidak menjadi isu atau perkara yang besar, kerana kita biasanya mengetahui dan sedia maklum bahawa setiap apa-apa keputusan yang diputuskan memang mempunyai risiko. Yang penting adalah bersedia menerima risiko yang timbul, berhadapan dengannya dan mengambil pengajaran daripadanya. Biasanya kita belajar daripada pengalaman diri sendiri mahupun orang lain.
 
PERANAN GERAK HATI
Pernahkan kita memandu kereta sedang mencari jalan menuju ke sebuah rumah saudara atau teman yang telah lama tidak kita tidak kunjungi dan kita telah ingat-ingat lupa jalan menuju ke rumah tersebut. Bagaimanakah kita akan membuat keputusan dan adakah keputusan yang kita buat itu tepat.
            Ini adalah satu fenomena yang terlalu banyak berlaku dia kalangan manusia. Hal-hal seperti ini banyak membuatkan fikiran manusia berasa keliru dan otak akan menjadi serabut.
            Fenomena tersebut dinamakan oleh para saintis sebagai 'emotional oracle effect' atau sekiranya perkataan ini diterjemahkan secara terus ke dalam bahasa Malaysia, ia akan membawa maksud sebagai 'kesan emosi ahli nujum'.
            Para saintis dan pengkaji yang mengkaji masalah ini menerangkan bahawa fenomena ini sebagai tindakan minda sedar dan juga separa sedar yang ada pada diri kita dalam usaha mengumpulkan segala maklumat yang optimum yang ada pada kita lalu merumuskan keputusan.
            Biasanya keputusan tersebut lebih tepat berbanding dengan rumusan yang dibuat berdasarkan minda sedar yang waras .Untuk memastikan manusia berjaya mendapatkan dan membuat sesuatu ramalan atau tekaan yang tepat terhadap berbagai persoalan yang anda hadapi, maka percayalah dengan sepenuh hati pada naluri anda. Tapi ingat, syarat-syaratnya adalah anda perlulah mempunyai pengetahuan terhadap perkara yang anda mahu hadapi.
LANGKAH-LANGKAH
Ia bermula dengan individu mengenal pasti tujuan keputusan itu dibuat, mencari maklumat, mengenal pasti pilihan-pilihan penyelesaian masalah yang ada, membuat pertimbangan yang adil dan saksama, membuat keputusan berkaitan pilihan-pilihan yang ada, mengambil tindakan dan mengkaji semula keputusan yang dibuat dan kesan-kesannya.
            Jelas sekali, membuat keputusan adalah suatu proses yang mempunyai urutannya. Jika seseorang individu meninggalkan mana-mana satu, dua ataupun beberapa langkah yang ada, sudah pasti keputusan yang dibuat akan pincang dan tidak sempurna.
            Dengan menggunakan pendekatan yang dikemukakan di atas, proses membuat keputusan berkaitan pilihan pendidikan dan kerjaya bermula dengan individu perlu terlebih dahulu mengenal pasti apakah keputusan yang hendak dibuatnya.
            Contohnya, mungkin seorang pelajar yang dinamakan sebagai A, mengenal pasti bahawa dia ingin menyambung pelajaran setelah menerima keputusan peperiksaan SPM yang memuaskan. Selepas mengenal pasti perkara itu, barulah A boleh beralih kepada fasa yang kedua, iaitu mendapatkan maklumat tentang bidang-bidang pendidikan yang ditawarkan di universiti dalam dan luar Negara. Begitu juga dengan kursus-kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi swasta.
            Selepas mendapat maklumat yang berkaitan, bermulalah proses mengenal pasti apakah bidang pendidikan yang benar-benar sesuai dengan kelulusan yang dimiliki oleh A. Daripada sekian banyak kursus-kursus yang ditawarkan, mungkin hanya ada beberapa kursus sahaja yang diminati oleh C dan sesuai dengan kelulusan akademiknya. A perlu menyenaraikan kesemua kursus itu bagi memudahkannya membuat pemilihan. Proses membuat pilihan ini melibatkan proses membuat analisis dan pertimbangan yang menyeluruh ke atas kesesuaian diri A dengan kursus yang ada.
            Selepas semua aspek yang penting seperti kelayakan akademik yang dimiliki sesuai dengan kursus yang dipilih, bantuan kewangan yang disediakan, lokasi institusi, dan lain-lain diambil kira, barulah A mampu menetapkan hanya tiga pilihan pendidikan sahaja yang utama, kedua utama dan ketiga utama.
            Jika A masih gagal membuat keputusan tentang tiga pilihan pendidikannya, dia perlu berpatah balik semula kepada proses bagi mendapatkan maklumat, mengenal pasti alternatif dan membuat pertimbangan. Mungkin ada maklumat penting berkaitan kursus pendidikan yang tidak dapat diperoleh oleh A yang menyebabkannya gagal membuat keputusan. Dengan mengulangi semula proses membuat keputusan yang dinyatakan A akan mendapat lebih lagi maklumat yang membolehkannya membuat keputusan dengan yakin.

No comments: