Dec 20, 2012

Facebook? Gambar? hukumnya?

Dosa-Dosa & Facebook
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
  
facebook-logo.jpg

Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.
Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-
1)   Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka.  Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami  serba salah.

Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.

Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.

Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu  jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.
2)  Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekatsangat dekat ( sehingga memenuhi  kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri).  Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.

Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.

Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.

Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar,  si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.

Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang  sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .

3)  Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.

Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkanfriend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.

4)  Download gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.

Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar. 

Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.

5)  Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.
Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.

Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semuafriend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya

Ini boleh menjadi dosa, kerana :-

a-      Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.
b-      Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.
c-      Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.

6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan

    Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.
    
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung.  Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.

Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.


KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.
Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.
Sekian

Wanita terlanjur? Adakah diterima taubatnya?

Wanita Terlanjur, Rasa Diri Jijik
& Diterimakah Taubat?
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
  
sedihtaubat.jpg


SOALAN
Salam, saya pernah terlanjur dengan boyfriend tapi itu bukan atas kerelaan saya. Saya dipaksa melakukannya. Dalam hati, tidak sedikit pun terlintas perasaan itu. Saya menolak tapi dia tetap memaksa. Sekarang saya ingin tahu adakah Allah akan menerima taubat saya setelah saya terlanjur? Saya berasa sangat sedih, jijik dengan diri dan hidup saya sudah tidak tenteram. Hati saya selalu tidak tenang. Saya merasakan Allah tidak akan menerima taubat saya. Tolonglah bantu saya.
- Soalan melalui ruangan komen di artikel lepas-
JAWAPAN
Pertamanya, saya ucapkan syabas kerana saudari masih mempunyai iman dan punyai ilmu tentang haramnya tindakan itu, kerana itulah timbul perasaan takut, kesal, tidak tenang dan takut. Sekiranya perasaan itu makin menghilang, ia tanda iman juga semakin meluntur dengan sangat teruknya.
Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW :
من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ
Ertinya "Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )
Apa yang perlu dilakukan kini adalah meneruskan taubat. Taubat sebenar yang akan diterima Allah adalah dimulai dengan rasa penyesalan amat sangat dan diturut dengan beberapa amalan di bawah. Antara package dalam taubat di dalam Islam adalah seperti berikut :-

1) Bertaubat dengan sungguh-sungguh.
Kesal dan menangisi dosa yang dilakuakn dengan azam untuk TIDAK mengulanginya.

2) Tidak berjumpa teman lelaki atau 'dating' berdua-duaan dengannya.
Jika jumpa sekalipun, perlu diajak ahli kelurga yang tegas dalam soal hukum Islam bersama ( Jika tidak tegas, ia sama seperti tiada). Jika tiada abang, hanya berjumpa di rumah saudari dengan kehadiran ibu bapa (yang juga dari kalangan yang prihatin dan mesti mereka sentiasa bersama). Jika tidak mampu juga,Maaf !. Saudari tiada pilihan lain kecuali mesti mencari jalan untuk mampu melakukannya.
Jika tidak, saudari pasti akan terus mengulangi zina pada satu hari nanti. Selepas itu, segala pintu iman akan semakin tertutup rapat buat saudari, peluang menjadi terus terhina dan melahirkan zuriat yang tidak soleh juga semakin membesar sebagaimana Allah memberi amaran. "Di dalam hati mereka dibiarkan berpenyakit lalu Allah menambah penyakit mereka" ( Surah Al-Baqarah)
Syahwat seksual dan zina adalah sama seperti dadah dan kegilaan harta material, ia boleh membawa seseorang menjadi mabuk dan lupa segala-galanya. Sebagaimana hadis yang telah saya bawakan dahulu iaitu :-
لو كان لابن آدَمَ وَادِيَانِ من مَالٍ لَابْتَغَى ثَالِثًا ولا يَمْلَأُ جَوْفَ بن آدَمَ إلا التُّرَابُ
Ertinya : Sekiranya anak Adam itu punyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga, dan tidak disumbatkan ke dalam perutnya kecuali tanah (mati)( Riwayat al-Bukhari , 5/2364 )
Demikian juga perihalnya dengan nafsu syahwat seksual. Ia merupakan satu penyakit dalaman yang serius serta amat sukar dirawati. Ia sama sekali tidak boleh dipuaskan jika tidak dikawal dengan iman.
3) Mencari rakan wanita yang solehah di sekitar saudari.
Ini adalah satu tindakan yang baik, kerana dalam keadaan demikian, saudari memerlukan kaunseling berterusan dan kerap. Ia tidak akan diperolehi jika saudari berkawan dengan rakan yang seperti tingkah laku saudari sekarang. Jika susah untuk mendapatinya, sertailah kumpulan dan NGO yang mengumpulkan wanita-wanta baik dan berprogram bersama mereka seperti. Antara contohnya, sertai NISA', ABIM, JIM, ISMA dan lain-lainnya.
Ia adalah saranan Nabi s.a.w :-
إنما مثل الجليس الصالح والجليس السوء كحامل المسك ونافخ الكير فحامل المسك إما أن يحذيك وإما أن تبتاع منه وإما أن تجد منه ريحا طيبة ونافخ الكير إما أن يحرق ثيابك وإما أن تجد ريحا خبيثة
Ertinya : Sesungguhnya perumpaan rakan yang baik dan yang jahat itu, ibarat rakan pembawa minyak wangian dan tukang besi peniup api ; adapun rakan  baik adalah seperti pembawa wangian, ia (membawa kesan kebaikan) iaitu samada ia akan menghadiahkanmu wangian, atau kamu membeli darinya ataupun kamu akan dapat bauan wanginya juga. Manakala rakan buruk seperti tukang besi penyala api, samada ia akan membakar bajumu atau akan mendapati bauannya (peluh) yang tidak enak" ( Riwayat Muslim, no 4762 )
Hasilnya, wajiblah mencari rakan yang baik. Termasuk mencari teman lelaki yang baik. Antara tanda lelaki itu baik adalah dia TIDAK AKAN PERNAH MEMBICARAKAN SOAL SEKS ATAU YANG MENAIKKAN SYAWAT denganmu sama ada melalui sms, telefon atau berdepan, SELAGIMANA DIA belum bernikah denganmu. Mana-mana lelaki yang membicarakannya atau meminta sebelum bernikah adalah lelaki jahat dan tidak layak dijadikan suami atau itulah bakal suami penzina, kecuali apabila mereka juga bertaubat.

4) Berkenaan ayat dan surah tertentu.
Ada yang bertanya ayat tertentu untuk bacaan harian agar terjauh dari zina. Hakikatnya dalam Islam, sekadar mengalakan ayat tertentu tanpa menghayati ertinya, masih tidak mampu menjamin terjauh dari zina serta membawa kesan dan perubahan ke arah yang lebih baik. Pun begitu, jika masih ingin amalkan ayat tertentu,maka baca dan fahamilah ayat berkenaan dosa zina banyak-banyak, moga ia dapat menghindarkan diri darinya.
Ayatnya adalah firman Allah:-
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِئَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ
Ertinya : "Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman" ( Surah An-Nur : 2)

5) Memperbaiki solat dan memperbanyakkan amalan.
Saudari mengatakan saudari solat tetapi masih gagal mengawal nafsu, Ini bererti solat saudari perlu diperbaiki kerana solat merupakan antibodi terkuat dalam Islam untuk mengawal nafsu.
Allah swt mengarahkan mereka yang bertauat untuk mengriigi dosanya dengan memperbanyakkan amalan soleh, dengan harapan rahmat dan belas Allah akan melebihi murkanya.
KESIMPULAN
Saudari menyatakan saudari ‘tidak rela' , ada dua perkara di sini :-
Pertama : kerelaan untuk berzina tu bukan semestinya dalam bentuk kita setuju semasa kejadian tu sahaja, tetapi berdua-duaan dan berada dalam keadaan yang membolehkan zina itu berlaku itu sendiri adalah TANDA KERELAAN SEBENARNYA. Kiranya saudari tidak keluar atau berdua-duaan dengannya, pasti dia pun TIDAK boleh memaksa.
Maka puncanya tetap dari kesalahan saudari juga. Justeru, putuskan hubungan dengannya sama sekali dan jangan ulangi keluar dengan lelaki asing berdua-duaan, khususnya di tempat yang membolehkan berlakunya zina atau rogol.janganlah beralasan bahawa 'terlalu cintakannya' , 'terlalu sayangkan dia' sehingga tidak mampu untuk berenggang dan putus darinya. Semua itu hanyalah nafsu dan bukan cinta dan sayang yang suci, ia adalah 'ibarat cinta dan sayang  seorang penagih dadah kepada dadah' sehingga sukar berpisah darinya. Memang sukar, namun perlukan azam kuat dan menempuh tembok syaitan dan nafsu yang besar.
Kedua : Dari sudut undang-undang dunia pula, jika itu berlaku saudari sudah dikira dirogol. Tatkala wajiblah saudari melaporkan kepada polis dan bukan hanya bertanya kepada mana-mana ustaz sahaja tanpa tindakan undang-undang. Tindakan membiarkan ia berlalu tanpa laporan adalah antara seburuk-buruk perlakuan seseorang mangsa rogol, walaupun mungkin dia sedang menderita, trauma, malu , sedih dan sebagainya, namun perlu ada ahli keluarga membantu untuk memastikan laporan dibuat. Laporan itu perlu bagi menyekat si ‘jantan' meneruskan aktiviti dosanya.
Akhir sekali, sentiasalah bersangka baik Allah akan menerima taubat setelah kita berusaha bersungguh-sungguh membuktikan penyesalan kita. Allah ada menyebut bahawa Allah bersama sangkaan hambaNya. Jika kita yakin Allah meneirmanya, maka Allah dengan sifat maha pengampunNya akan mengampun hambanya yang benar-benar ikhlas dan bersungguh. Semoga berjaya mendapat keampunannya.

Omar Al-Mukhtar: Singa Padang Pasir


Omar Al-Mukhtar
“Hidup biar mulia, mati biar syahid. ‘Isy ‘azizan aumut syahidan!”
Lelaki bertubuh sasa, tegap dan gagah perkasa yang telah ditelan usia itu melangkah longlai tenang menuju ke tiang gantung. Kedua belah tangannya terbelenggu di belakang. Namun matanya masih tetap bersinar menaruh keyakinan terhadap masa depan negara dan rakyatnya. Raut mukanya tidak menampakkan rasa gentar atau takut menghadapi suasana kematian. Ia begitu gagah walaupun maut sedang menantinya tidak beberapa saat lagi. Ia tersenyum mengimbau kembali peristiwa-peristiwa yang ia lalui sehingga ia ditangkap dan dihukum di tali gantung.

Pengorbanannya terhadap negaranya yang tercinta. Ia berpuas hati apa yang beliau telah lakukan selama ini. Ia redha jalan yang dipilihnya sendiri. Sebentar tadi ketika beliau dibenarkan bersolat Subuh, beliau sujud begitu lama sehingga darah yang menyelinap ke seluruh anggotanya terasa kebas-kebas mengadu dan berdoa ke hadhrat Allah s.w.t. supaya Allah mengampuni segala dosa-dosanya selama ini dan memohon kepadaNya supaya negara dan rakyat bebas dari belenggu penjajahan. Beliau telah bersedia menemui Penciptanya sekarang.

Suasana hening di pagi yang sejuk menikam qalbu, kedengaran tangis-sedu menyelubungi orang-orang yang berada di sekelilingnya. Mereka menatap lelaki berusia 80 tahun itu dengan wajah muram. Air mata masing-masing tidak dapat ditahan, luruh bagaikan mutiara berguguran. Bagi mereka yang berada di sekitar kawasan penjara dan di tempat-tempat lain, turut merasainya, semua mereka sedar bahawa sudah sampai ketika dan waktunya beliau akan menjalani hukuman gantung sampai mati pada pagi itu. Beritanya tersebar ke seluruh pelusuk negara. Masing-masing mengangkat tangan menadah ke langit memohon keampunan dari Allah Maha Besar dan memberi darjat yang tinggi kepada beliau dan ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang solehin dan para-anbiya.

Tidak beberapa saat berlalu, suasana pagi yang hening kesejukan pagi itu dipecahkan dengan jerit pekik tangis bersahut-sahutan ketika mereka melihat lingkaran tali tiang gantung menjerut leher pahlawan mereka, Omar Al-Mukhtar. Singa Padang Pasir itu telah kembali kepada Penciptanya pada 16 September 1931 di Kota Solouq. Selesai sudah perjuangannya melawan penjajahan Itali, tetapi perjuangannya itu akan tetap diteruskan oleh anak watan.

Omar Al-Mukhtar memang dipandang sebagai simbol kepahlawanan menentang penjajahan Itali bagi rakyat Libya. Sejak Itali mulai mencengkam di negara tersebut pada Oktober 1911. Ia telah menjadi perintis mencetuskan semangat rakyat Libya menyalakan bara perjuangan rakyat menentang penjajahan Itali.

Syahid di Tiang Gantung

Gelora perjuangannya juga menambat hati rakyat Libya lainnya dan berjaya melahirkan ramai para mujahid seperti Ramadan As-Swaihli, Mohammad Farhat Az-Zawi, Al-Fadeel Bo-Omar, Solaiman Al-Barouni dan Silima An-Nailiah.

Usaha Itali menguasai Libya dilakukan dengan menyerang dan menguasai kota-kota di sebelah pantai seperti Tripoli, Benghazi, Misrata dan Derna secara berturut-turut, satu demi satu jatuh ke tangan penjajah Itali. Meski pun demikian, Omar kerap kali menjadi batu halangan kepada mereka. Ia mampu membangkitkan semangat perjuangan rakyat Libya menentang Itali dengan semangat perjuangan yang kental.

Perjuangan mereka telah menciptakan beberapa pertempuran yang hebat. Misalnya pertempuran yang terjadi di Al-Hani dekat Tripoli pada 23 Oktober 1911, Ar-Rmaila dekat Misrata, Al-Fwaihat dekat Benghazi pada Mac 1912 dan Wadi Ash-Shwaer dekat Derna.

Perjuangan rakyat Libya menghasilkan kejayaan yang cemerlang-gemilang. Pejuang-pejuang pimpinan Omar pernah terlibat dalam pertempuran besar di Al-Gherthabiya, dekat Sirt pada bulan April 1915. Itali kehilangan ribuan tentera. Pertempuran-pertempuran seperti ini sering berlaku membuatkan penjajah Itali terpaksa membalas serangan yang memakan masa yang panjang, tahun demi tahun untuk menguasai negara ini.

Meski pun begitu pada akhirnya, wilayah-wilayah yang dipertahankan oleh para mujahidin jatuh ke tangan penjajah. Jatuhnya wilayah demi wilayah membuat para pejuang meninggalkan rumahnya dan menuju ke pegunungan. Mereka tidak pernah berdiam diri terus merancang pelbagai strategi menyerang balas.

Pada tahun 1922 Omar telah membentuk satu kumpulan para mujahidin dan menggegarkan kembali operasi perjuangan menentang penjajahan Itali ke atas negaranya. Ia mengumpulkan kembali mujahidin di The Green Mountain (Aj-Jabal Al-Akdar), bahagian Tenggara Libya. Perkara ini terjadi setelah tamatnya Perang Dunia pertama dan pada masa itu penjajah Itali terfikir bahawa mereka mampu untuk membenamkan sepenuhnya perjuangan rakyat Libya. Jangkaan Itali ternyata silap.

Perjuangan yang tercetus kembali itu membuat pihak berkuasa Itali merasakan mereka berada dalam suasana yang amat tertekan, bahaya tiba-tiba datang sering mengancam keselamatan. Mereka tidak mahu membiarkan perjuangan menuntut kebebasan ini semakin merebak. Lalu pemerintah Pusat Itali, Badolio yang terkenal dengan kekejamannya yang sering kehausan darah rakyat Libya untuk diratahnya telah mengambil tindakan ketenteraan untuk merendam bara perjuangan tersebut.

Badolio bukan sahaja ditugas untuk menumpaskan Omar Al-Mukhtar dan pasukannya. Bahkan ia juga diberikan keizinan untuk membunuh rakyat Libya yang memberi sokongan dan membantu para mujahidin di mana jua mereka berada.

Tidak beberapa lama kemudian diktator Musolini mengirimkan komandan yang berperilaku lebih zalim daripada Badolio. Ia mengambil alih tugas Badolio dan membentuk pasukan tugas khas untuk menumpaskan gerakan yang diketuai oleh Omar dan bertindak membunuh lebih ramai rakyat Libya yang tidak berdosa. Komandan yang dihantar oleh Musolini ini pada fikirannya boleh menyelesaikan masalah Libya secara langsung adalah Rodolfo Grasiani. Malah kabinet Musolini telah dimaklumkan bahawa kedatangan khas Grasiani akan membuat suasana di Libya dapat dikawal sepenuhnya.

“Jika tidak bersamaku, maka mereka adalah lawanku”

Grasiani bersetuju pergi ke Libya dengan syarat tidak ada peraturan yang dapat menghalangnya dari melakukan berbagai tindakan ke atas Libya termasuk peraturan –peraturan antarabangsa. Ia boleh melakukannya tanpa halangan dan sekatan mengikut kehendak hatinya bagi kepentingan Itali. Sebelum ditugaskan ke Libya, ia pergi ke Morj, Switzerland untuk merancang serangan terhadap Libya.

Rancangan Grasiani dipersetujui sepenuhnya oleh Musolini sebab ia berpegang kepada prinsip ”jika tidak bersamaku, maka mereka adalah lawanku”. Dengan demikian untuk menguasai Libya pelbagai kaedah dan cara dihalalkan, tidak lagi mempedulikan sebanyak mana kos yang terlibat dan berapa banyak mangsa yang tidak berdosa terpaksa dikorbankan.

Tindakan pertama Grasiani di Libya ialah memutus, menyekat dan mencegah segala bentuk hubungan dengan mujahidin dan dengan Negara-negara jiran yang memberi bantuan membekalkan senjata dan juga maklumat kepada para pejuang Libya. Ia membina kawat berduri sepanjang 300 km, tinggi 2 meter dan lebar 3 meter dari pelabuhan Bardiyat Slaiman Libya Utara sampai Al-Jagboub Libya Tenggara.

Beliau juga membina kem berpusat yang dikawal rapi di mana ribuan rakyat Libya mesti hidup dalam pengawasan tentera Itali. Ia membina banyak kem-kem seumpama ini di Al-Aghaila, Al-Maghroun, Solouq, dan Al-Abiyar. Keseluruhan rakyat Libya merasa tertekan dan tertindas akibat perbuatan Grasiani ini. Mereka hidup seperti haiwan di kandang tidak ada kebebasan.

Pada akhir bulan November 1929 sebahagian besar rakyat Libya dipaksa hidup di kem-kem di Al-Jabal Al-Akdar, Mortaf-Aat Al-Thahir dari Beneena Utara sampai Ash-Shlaithemiya Selatan, dari Tawkera ke bahagian selatan padang pasir Balt Abdel-Hafeeth.
Kehidupan rakyat Libya di kem-kem ini sangat mengerikan. Ribuan rakyat Libya mati kelaparan, banyak juga yang mati kerana ditembak atau digantung sebab disyaki membantu perjuangan para mujahidin pimpinan Omar Al-Mukhtar.

Pada tahun 1933, Ketua Jabatan Kesihatan Angkatan Tentera Darat Itali, Dr Todesky menulis dalam bukunya bertajuk ‘Cerinaica Today’. Dalam bukunya itu ia menyebutkan bahawa dari bulan Mei hingga bulan September 1930, lebih daripada 80 ribu rakyat Libya dipaksa meninggalkan tanah kelahirannya dan hidup di kem-kem ini.

Setiap kumpulan rakyat Libya yang berjumlah 300 orang sekali jalan mendapat kawalan ketat dari tentera Itali. Todesky berkata bahawa pada akhir tahun 1930 semua rakyat Libya dipaksa untuk hidup di kem-kem ini. Sebanyak 55 peratus dari 80 ribu rakyat Libya meninggal di kem-kem tersebut.

Seorang sejarawan Libya, Mahmoud Ali At-Taeb menyatakan bahawa pada bulan November 1930 paling tidak terdapat 17 acara pengebumian dalam sehari terjadi di kem-kem tersebut akibat kelaparan, penyakit dan tekanan mental yang maha hebat yang tidak tertanggung oleh manusia normal.

Di luar kem-kem ini, mujahidin yang bertahan di daerah pergunungan terus berjuang menentang penjajahan Itali. Namun, pada tahun 1931 mujahidin kehabisan stok makanan dan bekalan perubatan. Pemimpin mujahidin, Omar Al-Mukhtar, jatuh sakit dan banyak para mujahidin memintanya untuk berhenti berjuang dan meninggalkan Libya dan berselindung di Negara jiran yang bersimpati dengan perjuangan mereka buat sementara waktu sehingga kesihatannya pulih seperti sedia kala dan kembali menyusun perjuangan seterusnya. Namun, beliau menolak tawaran tersebut dan tetap meneruskan perjuangan menentang tentera Itali.

Atas kegigihan dan keberanian melawan penjajahan Itali, maka beliau digelar sebagai ‘Singa Padang Pasir’. Meski pun pada akhirnya, usia senja tidak mampu membuatnya bertahan untuk memikul senjata meneruskan perjuangan. Ia ditangkap dan dijatuhi hukuman gantung. Pendakwaan dan hukuman tetap dilakukan tanpa mempedulikan Undang-undang antarabangsa seperti mana yang ditetapkan dalam ‘Perjanjian Geneva’ dalam soal mempertimbangkan tahap kesihatan Omar Al-Mukhtar dan usianya yang sudah lanjut membolehkan beliau dikecualikan dari hukum tali gantung.

Semakin redupnya bara kepahlawanan memberi peluang kepada Itali meneruskan cita-citanya dan akhirnya Itali dapat menguasai Libya setelah melakukan pertempuran selama 20 tahun. Itali hanya mampu berkuasa di Libya sehingga tahun 1943 sahaja akibat kekalahannya di Perang Dunia Kedua. Libya kemudian berada di bawah kekuasaan pasukan sekutu hingga 24 Disember 1951. Itali memerdekakan Libya pada 21 Disember 1951. Sekarang Libya di bawah pentadbiran Kolonel Muammar Abu Minyar al-Qadhafi yang merampas kuasa pada 1 September 1969 dan membentuk sebuah negara kombinasi di antara sosialis dan Islam. Libya terasing daripada dunia luar akibat sekatan oleh PBB yang mana Amerika Syarikat menjadi dalangnya ekoran peristiwa Lockerbie dan pada bulan September 2003 sekatan ekonomi terhadap Libya dilonggarkan kerana Muammar Al-Qadhafi memberi kerjasama dalam kes Lockerbie.

Mana Dia Omar Al-Mukhtar Abad ke-21?

Begitulah serba ringkas kisah Omar Al-Mukhtar yang berjuang ke titisan darah terakhir. Kisah beliau ini telah difilemkan. Sejarah menuntut kemerdekaan ini sering bertukar tidak pernah padam selagi ada bumi dan matahari, hanya yang bertukar ialah penjajahan dalam bentuk baru iaitu penjajahan dalam bentuk politik, ekonomi, pendidikan, sosial, kebudayaan dan sebagainya dan menjadikan pemimpin tempatan sebagai boneka kepada tuannya. Ini berlaku di Iraq, di Afghanistan, di Khasmir, di Chechnya dan lain-lain Negara umat Islam yang terpaksa tunduk dengan negara kuffar iaitu Amerika Syarikat yang menjadi negara kuasa besar tunggal atau polis dunia tanpa saingan selepas kehancuran Soviet Union pada tahun 80an. Maka tamatlah perang dingin yang menjadi pengimbang di antara dua kuasa besar yang berjaya mempengaruhi politik dan ekonomi dunia ketika itu. Ada lagikah kepahlawanan seperti yang ditunjukkan oleh Omar Al-Mukhtar ini di negara umat Islam sekarang ini!