Dec 6, 2011

FIKRIE PINJAMKAN SUARA UNTUK SHIN-CHAN



FIKRIE PINJAMKAN SUARA UNTUK SHIN-CHANOleh: Khadijah Ibrahim - Utusan Malaysia 2005

BIARPUN Crayon Shinchan adalah cerita kartun namun ia amat diminati di kalangan remaja dan orang dewasa. Namun ada ibu bapa yang melarang keras anak-anak kecil mereka menonton siri kartun tersebut. Kenapa? Larangan itu dibuat mungkin kerana Shinchan watak utama dalam siri kartun popular itu adalah seorang kanak-kanak tadika yang "jahat mulut".

Shinchan yang bersuara halus itu sering menimbulkan kemarahan kepada ibunya kerana melakukan perkara-perkara yang ditegah. Mungkin kerana itu, ada ibu bapa yang khuatir anak-anak mereka akan turut terikut-ikut dengan perangai Shinchan itu. Biarpun Shinchan nakal namun sikap tersebut tidak sedikitpun mempengaruhi Arfalie Fikrie Razali, 12, yang meminjamkan suaranya untuk watak tersebut.

Siri Crayon Shinchan yang disiarkan setiap hari Sabtu, 7 malam di NTV7 telah menggunakan suara Fikrie sejak dua tahun lalu. Kata Fikrie, dia hanya meminjamkan suaranya untuk kartun animasi yang popular dari Jepun itu dan bukan mengikut karakter Shinchan.

"Entah saya tidak rasa kenakalan Shinchan mempengaruhi diri saya. Saya hanya meminjamkan suara untuk alih bahasa siri tersebut. Bila selalu jadi Shinchan tidak rasa pula yang dia itu nakal", kata Fikrie jujur.

Fikrie merupakan anak sulung daripada empat beradik ini dipilih menjadi pengalih suara untuk siri animasi tersebut setelah menjalani uji bakat. Pelajar darjah enam Sekolah Kebangsaan La Salle Sentul 2, Sentul itu berkata, semuanya bermula apabila ibu saudaranya, Zairani Sarbini membawanya ke pejabat Karya Nusa Sdn. Bhd., untuk sesi uji bakat. Dia yang pernah berlakon teater Bukit Kepong pada tahun 2001 berkata, sewaktu pertama kali melakukan dubbing dia merasa sedikit gementar. Namun lama kelamaan perasaan itu hilang kerana mendapat sokongan penuh daripada pengalih suara yang lain.

Gara-gara meminjamkan suaranya untuk Shinchan, maka tidakhairanlah di kalangan kawan-kawan rapat Fikrie ada yang memanggilnya Chan.

"Saya tidak kisah jika dipanggil Shinchan atau Chan, kerana itu tandanya kawan-kawan juga menonton siri kartun itu",
katanya sambil tersenyum.

Meskipun Fikrie hanya meminjamkan suaranya, namun ada ketikanya dia perlu korbankan waktu sukaria bersama kawan-kawan. Ini kerana ada ketikanya dia perlu berada di studio rakaman di Karya Nusa, Petaling Jaya dari pukul 8.30 malam sehingga 2 pagi atau dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Semua itu dilakukan pada waktu cuti sekolah. Selalunya untuk satu rakaman, Fikrie dan pelakon-pelakon lain akan melakukan rakaman untuk dua episod. Jelas Fikrie, dia seronok dengan apa yang dilakukan sekarang ini kerana dapat kumpul wang saku sendiri. Biarpun mendapat bayaran RM45 untuk satu episod, dia tidak pernah boros dengan wang tersebut. Sebaliknya, kesemua wang pendapatannya itu disimpan oleh ibunya dan dia hanya membawa RM1.50 ke sekolah.

"Kisah mama simpan wang itu kerana ia akan digunakan untuk diri saya juga satu hari nanti. Setakat ini mama hanya benarkan saya buat alih bahasa saja. Dia tidak bagi berlakon sebab takut pelajaran saya terabai", katanya yang memang minat berlakon itu.

Sementara itu Zairani yang turut menemani Fikrie berkata, anak saudaranya itu mempunyai bakat semula jadi. Zairani yang sudah 10 tahun membabitkan diri dalam bidang pengalihan suara itu turut meminjamkan suaranya dalam siri Crayon Shinchan untuk watak guru, Yoshinaga.



No comments: