Jun 7, 2010

12 aktivis ke gaza wira Negara dan Nota maut

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/12aktiviskeGazawiranegara_Najib/Article/#

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan 12 sukarelawan negara yang melalui pengalaman ngeri diserang dan ditahan tentera Israel ketika menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai wira negara.

Perdana Menteri yang bersyukur semua mereka selamat pulang, berkata kejadian itu akan termaktub dalam sejarah negara kerana menandakan pembabitan Malaysia dan rakyatnya secara sukarela untuk membantu rakyat Palestin.

“Nanti akan tertulis bahawa kumpulan 12 orang ini, sebagai orang biasa yang bersatu dalam satu kumpulan yang memiliki kesedaran dan keinsafan serta sanggup bersabung nyawa untuk rakyat Palestin.
“Mereka ini boleh dikatakan sebagai sebahagian daripada pihak yang menggerakkan kesedaran dunia untuk mengutuk kezaliman Israel,” katanya berucap pada majlis meraikan kepulangan 12 sukarelawan itu di kediamannya di Langgak Duta di sini, pagi semalam.

Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut bersarapan pagi bersama sukarelawan itu dan ahli keluarga mereka.

Perdana Menteri menganggap kejadian menimpa 12 rakyat Malaysia itu bukan saja menyayat hati, malah membuka mata rakyat dan dunia terhadap kekejaman Zionis ke atas rakyat Palestin yang sebelum ini hanya diketahui menerusi media.

“Pembunuhan sembilan rakyat Turki dari jarak dekat adalah bukti kezaliman Israel,” katanya. 
Najib mengakui beliau boleh membayangkan tekanan perasaan dialami 12 sukarelawan negara kerana tidak tahu apakah nasib mereka selepas diserang dan ditahan di Penjara Be’er Sheva, selain perasaan isteri, anak dan ahli keluarga mereka.

“Yang pasti, Malaysia tidak akan lari daripada tanggungjawab untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan mempertahankan hak asasi kemanusiaan dengan mencetuskan kesedaran dunia untuk terus mengutuk Israel.

“Malaysia akan tetap menghantar misi bantuan kemanusiaan ke Palestin,” katanya ketika ditemu bual TV3 pada majlis sama.

Sementara itu, Rosmah mengambil inisiatif mengumpul dana sebanyak RM16,250 (US$5,000) seorang untuk disumbangkan kepada keluarga sembilan sukarelawan Turki terbabit.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan ketika mengumumkan usaha diterajui Rosmah, berkata dana yang dikumpulkan itu akan diserahkan melalui Pertubuhan Himpunan Lepasan Institut Pendidikan Malaysia (Haluan) Palestin dan Wisma Putra untuk disampaikan kepada keluarga terbabit.








SEPANG: Komando Israel yang menyerang dan menawan kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza – Mavi Marmara, seminggu lalu, mempunyai senarai nama serta gambar sukarelawan yang hendak dibunuh, sekali gus menguatkan lagi bukti bahawa serangan itu sudah dirancang lebih awal. 

Mendedahkan rancangan tentera Yahudi itu, Ketua delegasi sukarelawan Malaysia, Noorazman Mohd Samsuddin, berkata aktivis yang terbunuh dalam serangan pada subuh 31 Mei lalu itu meliputi mereka yang dikenal pasti dalam senarai berkenaan.
Beliau yang selamat pulang ke tanah air bersama 11 sukarelawan Malaysia semalam, berkata senarai itu dijumpai daripada seorang daripada komando Israel yang menaiki kapal terbabit.


dalam kekalutan itu, anak kapal sempat memeriksa dan merampas senjata daripada tiga tentera sebelum 


membuangnya ke laut. Kami juga menjumpai senarai dipercayai sasaran yang dicari tentera Israel,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Noorazman dan 11 sukarelawan Malaysia itu dibebaskan Israel Rabu lalu, dua hari selepas kapal yang dinaiki untuk menghantar bantuan ke Gaza diserang mereka menyebabkan sembilan sukarelawan pelbagai negara terbunuh.

Noorazman berkata, beliau menyedari akan berlaku pertempuran berdarah atas kapal Turki itu sebaik saja tiga komando Israel menaiki Mavi Marmara dengan membawa senarai berkenaan.

“Kami percaya Israel mahu mencari dan membunuh sasaran tertentu kerana ada sukarelawan hanya menjadi mangsa peluru getah walaupun pada mulanya pancaran laser dihalakan tepat ke dahi dan kami boleh ditembak mati jika mereka mahu. 
“Syukurlah, tidak ada rakyat Malaysia dalam senarai tentera Israel itu, tetapi ada antara kami cedera ketika tentera Zionis menyerbu kapal,” katanya.

Noorazman berkata, rancangan tentera Israel itu perlu didedahkan kepada umum supaya masyarakat antarabangsa tidak terpengaruh dengan dakyah rejim bahawa peluru hidup digunakan sebagai pilihan terakhir. 

Katanya, anak kapal dan penumpang pula bertindak nekad mempertahankan diri kerana menyedari serangan itu sebenarnya adalah misi untuk membunuh.

“Kami tekad merampas senjata sebelum mereka berpeluang menembak. Walaupun dihujani peluru dan senjata disasarkan tepat ke dahi, kami kuatkan semangat serta memberanikan diri bagi merampas senjata mereka. Kami juga mengibarkan bendera putih sebaik saja tembakan bermula,” katanya.

Noorazman berkata, semua sukarelawan terbabit menjalani latihan minda dan psikologi mengenai bahaya yang mungkin dihadapi, termasuk serangan tentera Israel dan bersedia untuk mati ketika misi itu.

“Mereka yang terkorban ialah saudara yang makan sepinggan selama lima hari dan kami tangisi kematian mereka tetapi pengorbanan itu tidak sia-sia,” katanya. 





http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Notamaut/Article/

No comments: