Jun 7, 2010

Tak patah semangat berdepan deraan mental tentera Zionis di penjara





NOORAZMAN mendukung anak, Nur Nuhasakinah, di Kompleks Bunga Raya, KLIA, semalam.
Tak patah semangat berdepan deraan mental tentera Zionis di penjara

SEPANG: “Kami tidak sangka dapat keluar dari Israel seawal ini. Kami rasa kami akan duduk di sana dalam sebulan, dua bulan atau mungkin setahun dua lagi. 

“Apatah lagi kami sudah diputuskan hubungan (dengan dunia) luar dengan tidak dibenarkan menghubungi sesiapa dan hanya melihat wakil kedutaan negara lain masuk ke dalam penjara (untuk menguruskan pembebasan) tetapi pada masa sama, kami tahu Kedutaan Malaysia tidak dapat melakukannya kerana tidak ada hubungan diplomatik (dengan Israel),” kata ketua misi Life Line For Gaza (LL4G), Noorazman Mohd Samsuddin.

Berkongsi pengalaman ketika ditahan tentera Israel pada sidang akhbar di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba di tanah air awal pagi ini, semua 12 sukarelawan itu memanjatkan syukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jordan yang berusaha membawa mereka keluar dari Israel secepat mungkin.

“Hero sebenarnya bukan kami, sebaliknya mereka yang berdoa, bersolat hajat dan berusaha untuk keluarkan kami,” katanya yang juga Ketua Biro Palestin Haluan Malaysia. 

Noorazman berkata, tiga rakan aktivis, Abdul Halim Mohd Redzuan, Hasanuddin Mohd Yunus dan Jamaluddin Elias, ditembak dengan peluru getah dan mengenai bahagian kepala, belakang dan paha. 

Beliau berkata, penggunaan peluru getah itu sebagai alasan saja kerana terdapat bukti Israel memang berniat membunuh pihak tertentu yang ada di atas Mavi Marmara. 

Sementara itu, 28 jam berada dalam penjara Israel dan diasak dengan deraan mental oleh tentera Zionis tidak mematahkan semangat wartawan penyiaran dari Astro Awani, Ashwad Ismail,25, untuk terus berjuang membuka mata dunia mengenai kekejaman rejim itu. 
Beliau berkata, walaupun pengalaman ditempuhinya amat perit, tetapi tanggungjawab sebagai penyalur maklumat khususnya mengenai kekejaman rejim Israel tetap akan diteruskan. 

“Misi untuk tegakkan realiti masih belum dapat dilakukan kerana hanya secebis saja konflik di Asia Barat yang dapat diketengahkan dalam misi ini,” katanya. 

Ashwad berkata, walaupun secara fizikal mereka tidak diapa-apakan tentera Israel, tetapi deraan mental amat memeritkan. 

“Israel memang pandai melakukan deraan mental apabila mengasak daripada pelbagai sudut. Berada di penjara Israel cukup terseksa, selain menghadapi tindakan kejam mereka,” katanya. 

Walaupun misi itu dianggap gagal dari satu aspek kerana tidak mencapai objektif untuk menghantar bekalan kepada penduduk Gaza, Ashwad berkata, terdapat kejayaan lain di sebalik-nya. 

“Kejadian itu menjadi pencetus gelombang baru ke arah mengetepikan atau memulaukan Israel dalam lanskap geopolitik dunia apabila dasar anti Islam mereka terhadap bumi Palestin sepanjang enam dekad nyata memberi kesan besar,” katanya. 

Selain itu, insiden berkenaan juga mencetuskan tekanan hebat masyarakat antarabangsa ke atas rejim menyebabkan mereka terpaksa akur. 

“Bukan saja Turki, tetapi pemimpin Yahudi di negara Eropah turut mengecam kekejaman Israel. Kita dapat lihat Rachel Corrie tidak dikenakan tindakan ganas walaupun situasi mereka sama seperti kami,” katanya



No comments: